Memartabatkan wanita dalam TNB

Memartabatkan wanita dalam TNB

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Sabariah Sabtu

KETIKA wanita di kebanyakan negara lain masih menuntut hak sama rata dalam semua sektor pekerjaan, golongan itu di Malaysia lebih bernasib baik kerana tidak pernah dipinggirkan termasuk dalam industri penjanaan tenaga elektrik yang kebiasaannya didominasi lelaki.

Antara wanita bertuah itu ialah bekas Naib Presiden (Ketua Pegawai Maklumat) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Sabariah Sabtu yang berpeluang berkhidmat selama 31 tahun dengan syarikat ber­kenaan.

Bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah itu menjelaskan, beliau telah mendapat biasiswa Lembaga Letrik Negara (LLN) pada 1969 untuk melanjut pelajaran di Brighton Polytechnic, Sussex, United Kingdom sehingga mendapat Sarjana Muda Sains (Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik).

“Selain saya ketika itu, terdapat tiga lagi wanita yang mendapat biasiswa LLN untuk melanjutkan pelajaran di sana,” jelasnya.

Menurutnya, kerjaya bersama syarikat itu bermula pada 1974 dan dalam tempoh 18 tahun sehingga 1992, beliau berpeluang untuk memegang pelbagai jawatan di Bahagian Pembahagian bermula dengan khidmat pelanggan sebagai penolong jurutera (pengguna) dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai jurutera daerah yang hampir ke­semua pekerjanya ialah lelaki.

“Bahagian ini berperanan membuat pe­rancangan serta menguruskan projek pembangunan dan penyelengaraan sistem peng­agihan bekalan elektrik di Petaling Jaya. Pada mulanya hanya lelaki sahaja di bahagian ini kerana rutin kerja tidak menentu termasuk pada waktu malam.

“Pihak pengurusan kemudiannya meletakkan saya di bahagian ini setelah mendapati saya boleh bekerja tanpa sebarang masalah. Antara projek yang saya terlibat adalah menguruskan pembekalan elektrik untuk kawasan perumahan baharu terma­suk Damansara Utama, Damansara Jaya dan Subang Jaya di Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Pada 1981, Sabariah dinaikkan pangkat lagi untuk memegang jawatan sebagai Jurutera Pembahagian Kanan (Perancangan) yang merupakan satu jawatan baharu yang mana beliau adalah pengasasnya.

Beliau bertanggungjawab untuk membuat perancangan sistem pembahagian bekalan elektrik ke seluruh negara supaya ia dapat disampaikan kepada pengguna dengan memuaskan dan dalam jangka masa yang diperlukan.

“Ini termasuk menyediakan bekalan elek­trik untuk kompleks beli-belah baharu di tengah Kuala Lumpur seperti Sogo dan Suria KLCC yang ketika itu sedang dalam perancangan,” katanya.

Selepas itu, sekali lagi Sabariah diberi cabaran untuk memikul tanggungjawab baharu apabila dilantik sebagai Pengurus Da­erah Kanan (Kuala Lumpur Utara).

Menurut Sabariah, sesuatu yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh itu adalah penswastaan LLN kepada TNB yang mula dicetuskan pada 1988 dan kemudiannya menjadi realiti pada 1990.

Katanya, selaras dengan kedudukan TNB sebagai entiti swasta, corak pemikiran dan cara bekerja terpaksa diubah.

Bagaimanapun, yang kekal adalah langkah memberi peluang kepada wanita untuk terlibat dalam pengurusan syarikat dan ini terbukti apabila beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengurus Wilayah (Perancangan dan Pembangunan), Bahagian Pembahagian dari 1993 hingga 1997.

Beliau mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan projek pembekalan elektrik berjalan lancar selaras dengan sasaran sifar terputus bekalan elektrik di kawasan segi tiga emas di tengah-tengah Kuala Lumpur khususnya di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang sedang dalam pembinaan pada masa itu.

Projek KLCC termasuk pembinaan Menara Berkembar Petronas bermula pada 1992 dan siap pada 1998.

Katanya, satu lagi cabaran yang tidak dapat dilupakan apabila pihaknya dikehendaki membuat perancangan dan membina prasarana pengagihan bekalan elektrik untuk memastikan sifar bekalan elektrik terputus di Putrajaya, Cyberjaya dan Taman Teknologi Malaysia (TPM) yang sedang dalam pembangunan.

Pada masa itu juga, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil sedang disiapkan sebagai tuan rumah untuk Sukan Komanwel 1998. TNB telah mencapai kejayaan dengan tiadanya terputus bekalan elektrik sepanjang acara sukan dilangsungkan.

“TNB turut bertanggungjawab dalam membuat perancangan dan pengagihan elektrik untuk projek transit aliran ringan (LRT) dan monorel yang sedang dalam pembinaan di ibu kota Kuala Lumpur,” katanya.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar (Kejuruteraan), Bahagian Pembahagian dari 1997 hingga 1998 dan selepas itu, sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Besar (Perancangan dan Pembangunan Sistem), Bahagian Pe­ngurusan Sistem Grid dari 1998 hingga 1999.

Tidak lama kemudian, katanya, dari 1999-2001 beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan sebuah anak syarikat TNB iaitu TNB Engineers Sdn. Bhd. (TNBE).

Sebagai Pengarah Urusan TNBE, beliau bertanggungjawab melakukan kajian kebolehlaksanaan dan menjalankan projek pembangunan kemudahan pembekalan elek­trik di dalam dan luar negara.

Katanya, antara projek yang berjaya di­siapkan oleh TNBE adalah pembekalan Arus Terus Voltan Tinggi (HVDC) 300/600 megawatt (MW) dari Gurun, Kedah ke Klongei, Thailand dan membina sistem grid 132 kilowatt (kW), 275 kW dan 500 kW di Semenanjung dan juga di Sabah.

“Anak syarikat TNB ini juga telah men­yiapkan pembinaan Stesen Janakuasa Kapar dan menaik taraf stesen janakuasa di Perai and Port Dickson.

“Pihak kami juga terlibat melakukan kajian kebolehlaksanaan pembekalan elektrik di luar negara termasuk projek Koridor Pembangunan Sihanoukville Phnom Penh (SPDC), Kemboja; Janakuasa Tongi 70 MW, Bangladesh dan Janakuasa Liberty, Pakis­tan,” ujar beliau.

Pada 2002, beliau adalah Penasihat Khas kepada Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB dan juga Penasihat Khas kepada Lembaga Elektrik Sabah (SESB) bagi memulihkan semula masalah kewangan teruk yang dihadapi syarikat itu dan turut bertanggungjawab menaik taraf Sistem Grid Penghantaran Elektrik SESB.

Pada tahun sama beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Bakun Hydro dan Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sistem Penghantaran Bakun-SESB.

Tidak sampai setahun menjawat jawatan itu, beliau dilantik untuk memegang satu jawatan yang baharu diwujudkan iaitu sebagai Naib Presiden (Ketua Pegawai Maklumat) dari 2002 hingga bersara pada 2005.

Antara tanggungjawab beliau adalah menubuhkan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) TNB yang bermula dengan tiga kakitangan dan kemudiannya bertambah kepada 500 kakitangan.

Antara peranan bahagian itu adalah menyelenggara 8,000 kilometer (km) rang­kai­an gentian optik TNB, mewujudkan Sistem Pengurusan Sumber Manusia Syarikat (EHRMS) dan menjalankan serta mengkoordi­nisasikan semua projek ICT untuk TNB keseluruhannya.

“Saya bersara dalam keadaan gembira kerana melihat wanita diberikan peluang yang luas untuk meningkat naik dalam TNB dan boleh dikatakan nasib mereka lebih baik berbanding jantina sama di negara-­negara lain,’’ katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140602/re_02/Memartabatkan-wanita-dalam-TNB#ixzz34Bk6nlMC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply